Pada masa ini, guru pelatih IPG dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka. Jaminan pelantikan ini akan dihapuskan dalam tempoh Rancangan. Dengan ini, hanya guru pelatih yang memperoleh pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan jawatan guru. Penghapusan jaminan pelantikan ini bertujuan memastikan penetapan keperluan kualiti minimum bagi guru baru.
Pelaksanaan latihan perguruan akan diperluaskan kepada universiti swasta berbanding hanya daripada IPG dan IPTA. Langkah ini akan meliberalisasikan sistem latihan guru dan beralih kepada ‘sistem terbuka’ bagi menambah sumber guru terlatih. Dengan pertambahan ini, lebih ramai guru pelatih yang cemerlang dapat dilantik sebagai guru di sekolah rendah dan menengah. Pendekatan ini akan meningkatkan persaingan di kalangan guru pelatih dan menambah baik kualiti sistem pendidikan secara keseluruhan.
"Dipetik drpd RMK 10, Bab 5 : Membangun dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia, halaman 212"